KUALA LUMPUR, 26 Julai — Kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang, bermula Rabu ini hingga 10 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Beliau berkata di Sabah, lapan lokaliti terlibat ialah Kampung Kauran, Keningau; tiga perkampungan di Sipitang iaitu Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipitang; Kampung Mostyn Lama, Kunak; Perumahan Ladang Pontian Kuril, Kinabatangan; Taman Kinarut Ria, Papar serta Kampung Tawadakan, Kota Belud.

PKPD di Kelantan pula melibatkan Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang, sementara di Pahang membabitkan Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland Genting Highlands, Bentong serta Kampung Pagar Batu 6 Penjom, Lipis.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di beberapa lokaliti melibatkan Sabah dan Johor yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan hingga 10 Ogos.

Lokaliti terlibat ialah FELDA Maokil, Muar, Johor dan beberapa lokaliti di Sabah membabitkan kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Kilang dan Kuarters Focus Lumber, Kilang dan Kuarters Veracity, Kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA, Penempatan Warga Indonesia, selain Kampung Madsiang, Penampang.

Sementara itu, PKPD di FELDA Lembah Klau, Mukim Gali, Raub dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong di Pahang; Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3, Beaufort serta Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak, Penampang di Sabah pula ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

PKPD di Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching turut ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala PKPD di Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan yang ditamatkan esok adalah lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 1 Ogos.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 31 premis meliputi kilang dan premis perniagaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Semalam juga, 438 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 434 individu dikompaun manakala empat lagi direman,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Mengenai Op Benteng, seramai lima pendatang tanpa izin ditahan dan lima kenderaan darat dirampas, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here