SEREMBAN, 28 Julai — Kerajaan Negeri Sembilan memperuntuk lebih RM1.71 juta bagi membantu penggiat industri pelancongan di negeri itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19, membabitkan bantuan tunai sekali beri, diskaun dan rebat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan itu diambil susulan situasi mencabar yang dihadapi penggiat industri sepanjang pandemik sejak Mac tahun lepas.

“Kekurangan atau hampir tiada pelancong mahupun pengunjung selain sekatan pergerakan merentas daerah dan negeri, kekangan kewangan bagi menampung kos pengoperasian seperti cukai, utiliti, penyelenggaraan, gaji, promosi dan pemasaran merupakan cabaran terbesar yang dihadapi sektor ini,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini.

Beliau berkata insentif tunai sekali beri RM2,000 diberikan kepada 20 persatuan yang berdaftar dengan Persatuan Pelancongan Peringkat Negeri membabitkan peruntukan sebanyak RM40,000.

Katanya bantuan tunai RM2,000 turut diberikan kepada pengurusan rumah inap yang masih aktif serta berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melibatkan peruntukan sebanyak RM14,000.

Aminuddin berkata 91 pemandu pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Sembilan (NSTGA) masing-masing akan menerima wang tunai RM250 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM22,750.

Beliau juga berkata diskaun atau rebat cukai taksiran 50 peratus turut diberikan kepada segmen penginapan dan hotel bagi penggal kedua tahun ini dengan peruntukan kerajaan negeri lebih RM1.51 juta.

Katanya lebih 150 hotel dan penginapan di seluruh Negeri Sembilan menikmati rebat 50 peratus bagi fi atau lesen perniagaan segmen penginapan dan hotel tahun depan, dengan peruntukan lebih RM123,000.

Aminuddin berkata semua bantuan itu diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan manakala diskaun, rebat cukai taksiran serta fi lesen perniagaan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here