KANGAR, 29 Julai  — Seramai 38.35 peratus penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas di Perlis sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat semalam dan negeri itu dijangka memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.

 “Perlis tidak lama lagi akan beralih kepada Fasa Tiga PPN, namun perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyurat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri kelak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut Azman, tahap pematuhan janji temu pemberian vaksin di negeri itu sangat baik dan kewujudan dua pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan 2020, Kangar dan Dewan Sri Melati di Beseri selain PPV bergerak yang digerakkan di seluruh Perlis membolehkan rakyat negeri itu menerima vaksin dengan lebih cepat.

Kerajaan menetapkan vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus daripada penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pada tahap selamat dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000 bagi mebolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga.

Perlis merupakan antara lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Azman menerima sumbangan 200 kit makanan menerusi program ‘MAFI PRIHATIN’ berupa buah-buahan tempatan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang akan disampaikan kepada petugas barisan hadapan di PPV negeri ini.

Azman berkata inisiatif itu adalah program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang masih berperang membendung penularan COVID-19.

“Ini adalah kali ketiga program sebegini kita jalankan kerana nak pastikan petugas barisan hadapan kita terus bersemangat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here