SEPANG, 2 Ogos  — Kaunter bagi Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini beroperasi di Short Term Car Park, Aras 2 Blok B, KLIA yang lebih luas dengan kemudahan 20 kaunter serta berkemampuan menampung 800 hingga 1,000 warga asing untuk berurusan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud  berkata kaunter di kawasan baharu itu dibuka sejak 31 Julai setelah Jabatan Imigresen menerima rungutan dan maklum balas mengenai kesesakan dan kes terlepas penerbangan kerana kelewatan proses kerja di kaunter lama di Aras 3, Balai Ketibaan KLIA.

“Sejak tarikh operasi (31 Julai), tiada lagi laporan mereka yang terlepas penerbangan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kaunter program berkenaan di KLIA, di sini hari ini.

Kaunter di kawasan baharu itu beroperasi 24 jam dengan tenaga kerja sebanyak 140 orang yang digilirkan dalam tiga syif, mempunyai sistem ventilasi lebih baik serta kiosk menjual makanan dan perkhidmatan fotostat.

Khairul Dzaimee  berkata semua warga negara asing yang menyertai Program Rekalibrasi Pulang itu perlu datang ke KLIA 24 jam sebelum penerbangan mereka untuk berurusan di kaunter tersebut.

Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin kendalian Jabatan Imigresen itu membolehkan pendatang tanpa izin berurusan untuk pulang ke negara asal dengan segera tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO) untuk berurusan di pejabat Imigresen.

Syarat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang di KLIA itu ialah memiliki dokumen perjalanan sah yang diluluskan kedutaan masing-masing, memiliki tiket pulang ke negara asal, membayar kompaun RM500 sama ada menerusi kad debit, kad kredit atau Touch ‘n’ Go e-Wallet sahaja, dan mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang sah laku dalam tempoh 72 jam dari tarikh penerbangan.

Menurut Khairul Dzaimee, sebanyak 8,856 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi program rekalibrasi pulang pendatang tanpa izin di KLIA itu bermula 5 hingga 31 Julai.

Bagi statistik keseluruhan program berkenaan , beliau berkata sebanyak 107,524 pendatang tanpa izin telah berdaftar untuk Program Rekalibrasi Pulang setakat ini, dengan 88,034 orang telah pulang ke negara asal dan jumlah kompaun yang dikutip melebihi RM52 juta.

Berkongsi analisis Jabatan Imigresen mengenai pendatang tanpa izin yang menyertai program tersebut, menurut Khairul Dzaimee mereka tinggal lebih masa antara tiga hingga lima tahun dan hidup selesa sebagai pekerja asing tanpa dokumen.

“Mereka turut membawa pulang barangan elektrik seperti televisyen dan membawa dua hingga tiga bagasi setiap seorang,” katanya, serta menambah mereka kebanyakan terlibat dalam sektor pekerjaan pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here