JASIN, 4 Ogos — Kerajaan Negeri Melaka masih menunggu keputusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mewujudkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Hang Jebat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata ini berikutan pelbagai penelitian oleh NADMA terutama bagi memutuskan peruntukan kos pengoperasian CAC. 

“Perkara ini juga perlu mengambil kira penganjuran Liga Super yang sedang berlangsung di negara ini dan kita mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia mengubah lokasi penganjuran liga itu atau menangguhkannya demi memastikan nyawa rakyat selamat dalam tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dalam program Jom Vaksin Bersama Wanita UMNO Bahagian Alor Gajah bersama MAKNA (Majlis Kanser Nasional) dan Kementerian Kesihatan di Japerun DUN Asahan hari ini. 

Pada awalnya, CAC dicadangkan di Stadium Tun Fatimah namun lokasi itu tidak sesuai kerana terletak berhampiran dengan kediaman penduduk.

Abdul Ghafar juga berkata kakitangan awam yang kini bekerja dari rumah akan diarah bertugas di CAC itu bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri. 

“Kita menganggarkan kira-kira 60 kakitangan perkhidmatan awam akan ditugaskan ke kawasan ini dengan waktu bekerja dua syif dalam sehari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here