ALOR SETAR, 4 Ogos — Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pendatang asing yang tinggal di Bukit Malut di Langkawi, yang keluar untuk menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada sebarang diskriminasi dalam program vaksinasi dan semua pihak akan diberi layanan yang sama termasuk pendatang tanpa izin.

“Saya beri jaminan kepada semua bahawa mereka akan diberi vaksin secara percuma… Mungkin ada kebimbangan kalau keluar suntik vaksin akan kena tangkap, saya beri jaminan mereka tidak akan ditangkap.

“Semua patut terima vaksin kerana kalau tidak diberi vaksin, kita takut mereka akan menjadi pembawa (virus COVID-19) dan memang dalam program vaksinasi ini ia sudah mengambil kira penduduk warganegara dan bukan warganegara,” katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Bukit Malut yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak juga telah dilaksanakan di penempatan berkenaan.

“PPV bergerak diperlukan kerana kesukaran untuk mereka keluar ke PPV awam dan PPV integrasi atas beberapa faktor termasuklah kediaman yang berhimpit (terlalu rapat)… saya difahamkan rekod terkini penduduk di Bukit Malut sudah melebihi 10,000 orang.

“Ada yang bukan warganegara tapi mereka tetap diberi suntikan vaksin untuk elakkan jangkitan merebak dan hari ini sahaja ada tiga kematian penduduk di Bukit Malut dan saya ucapkan takziah. Justeru penduduk dimohon beri kerjasama penuh kepada agensi yang sedang laksanakan PKPD dan buat pendaftaran suntikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata keluarga kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia terutama di daerah Kuala Muda dan Kota Setar tidak lagi boleh memilih tanah perkuburan untuk mengebumikan ahli keluarga masing-masing.

“Kena ikut apa yang diputuskan kerajaan, kena redha sebab ia akan menjejaskan kesegeraan pengebumian jenazah lain. Sebelum ini sehari kita boleh kebumikan dalam lima jenazah sahaja sedangkan kadar kematian harian agak tinggi antara 10 hingga 12 jenazah sehari.

“Setiap pengebumian perlu ada inspektor kesihatan dan kita kekurangan pegawai yang uruskan jenazah COVID-19, prosedur operasi standard proses pengebumian adalah lapan hingga 12 jam tapi ada yang sampai 20 jam sebab pergerakan petugas ke kawasan yang agak jauh ikut permintaan keluarga,”  katanya.

Selepas ini setiap kariah akan bergilir-gilir menerima jenazah COVID-19 bagi membolehkan urusan pengebumian dapat disegerakan mengikut syarak, sekali gus mengurangkan tempoh keberadaan jenazah di rumah mayat hospital yang kini menggunakan kontena sejuk beku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here