IPOH, 5 Ogos  — Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) akan dibuka di Perak sekiranya berlaku peningkatan kes baharu harian COVID-19 di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata ketiga-tiga PKRC itu ialah Kompleks Rakan Muda Taiping (780 buah katil), Institut Latihan Statistik Sungkai (90 buah katil) dan sebuah PKRC swasta di Hotel Virgo Manjung (200 katil).

“Apabila tiba masanya, ada keperluan (kes baharu meningkat) kita sudah bersedia untuk membuka PKRC berkenaan kerana segala persiapan sudah dibuat,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bagi Program Vaksin Perak (SilverVax) yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Datuk Seri Annuar Zaini di Hospital Ar-Ridzuan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Perak mencatatkan peningkatan kes COVID-19 kategori empat dan lima yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dr Noor Hisham berkata sehingga Sabtu lepas, terdapat 121 pesakit COVID-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Sementara itu, Saarani berkata penambahan sebanyak 50 buah katil lagi di PKRC Stadium Badminton Ipoh di sini telah dilakukan menjadikan sejumlah 520 katil ditempatkan khusus untuk pesakit COVID-19 di situ.

Beliau berkata kerajaan negeri juga turut membuka sebuah PKRC khusus untuk masyarakat Orang Asli yang menempatkan sebanyak 470 buah katil di Kem PLKN Sinaran Suria di Sungkai pada 25 Julai lepas.

Mengenai SilverVax, Saarani berkata program itu bukan untuk menggantikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) atau Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) tetapi sebagai cara untuk menyokong usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk Malaysia dan warga Perak khususnya.

Dilapor, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi subsidiarinya, Majuperak Holdings Bhd (MHB) dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi Program Vaksin Perak (PVP) yang dikenali sebagai SilverVax yang antara lain hanya untuk kegunaan syarikat swasta dan bukan untuk orang awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here