PUTRAJAYA, 6 Ogos — Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan beberapa prasyarat perlu dipenuhi sebelum kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata antara prasyarat itu ialah kadar vaksinasi yang diterima oleh rakyat perlulah tinggi supaya tidak berlaku peningkatan kes baharu COVID-19 yang mendadak.

“Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu perlu dilaksana juga kerana varian yang sedia ada lebih mudah disebarkan dan lebih berjangkit. Jadi kita perlu laksana pemakaian pelitup muka, utamakan penjarakan fizikal dan sebagainya dan tidak berkumpul dalam satu kumpulan yang ramai.

“Bila prasyarat yang kita katakan ini telah dapat dilaksanakan, saya rasa akan dibuat pengumuman apakah jenis-jenis kelebihan yang diberi untuk mereka yang telah melaksana dua dos vaksinasi,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dr Hishamshah berkata pada masa ini perkara berkenaan sedang dibincangkan di peringkat tertinggi mengenai apakah bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada rakyat yang telah menerima dua dos vaksinasi COVID-19.

Beliau berkata pelaksanaan kelonggaran kepada penerima lengkap vaksinasi tidak perlu dibuat secara terburu-buru dan kerajaan bersama KKM perlu mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Menurutnya Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara yang memberikan kelebihan kepada individu lengkap vaksinasi.

“Mereka beri kelebihan kepada individu yang dah melaksanakan dua vaksinasi ini tetapi bila mereka lihat kembali keputusan itu, mereka rasa kebenaran kelebihan ini diberikan terlampau awal.

“Disebabkan oleh beri kelebihan terlampau awal, mereka biarkan aktiviti sosial terlampau bebas dan sebagainya, mereka melihat peningkatan kes (COVID-19),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here