KUALA LUMPUR, 6 Ogos  — Perlis berjaya menanam sebanyak 144,684 batang pokok atau 72.3 peratus daripada sasaran 200,000 batang pokok untuk ditanam di negeri itu tahun ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.

Beliau berkata menerusi pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat kebangsaan pada 5 Januari lepas, Perlis menyasarkan menanam 200,000 pokok setiap tahun dalam tempoh lima tahun untuk mencapai penanaman satu juta pokok di negeri itu menjelang 2025.

Usaha tersebut melibatkan penanaman 160,000 pokok oleh agensi-agensi kerajaan, 30,000 pokok oleh Jabatan Perhutanan dan 10,000 pokok lagi ditanam secara persendirian oleh individu.

“Aktiviti penanaman oleh agensi adalah melalui program sedia ada seperti tanam semula getah atau (mangga) harum manis yang akan dilaporkan dalam Laporan Pencapaian Bulanan yang diselaraskan oleh Jabatan Perhutanan.

“Sementara bagi persendirian, melibatkan tanaman yang dilaksanakan secara sendiri oleh pekebun atau pemegang permit yang bukan penerima bajet daripada program agensi,” kata Azman dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman sehingga kini, enam program kempen telah dijalankan bersama sukarelawan iaitu Penanaman Pokok Bakau, Green SchoolTree Community,tanaman kawasan ladang (konsesi ladang jati), tanaman terosot (secara kontrak tanaman) dan Penghijauan Bumi Perlis.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Pengarah Perhutanan Negeri Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata program penanaman pokok secara berterusan dengan Askar Wataniah 504 juga telah diadakan dari 8 Julai hingga 4 Ogos, melibatkan penanaman 140 batang pokok hasil sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Katanya program berkenaan telah turut disertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kem Bukit Keteri pada 27 Julai lepas.

“Penanaman dilakukan di kawasan lapang kem iaitu laman woodball Keteri Hill bagi meningkatkan kesedaran kepada semua peringkat anggota mengenai kepentingan kawasan liputan hijau serta memberi teduhan untuk aktiviti woodball yang dijalankan di situ,” katanya.

Jelasnya, enam spesies pokok hutan ditanam dalam program tersebut iaitu merbau, meranti temak nipis, keruing, keruing belimbing, mahogani dan karas, manakala pokok buah terdiri daripada mata kucing, mangga harum manis, nangka mastura, mesta dan kelapa pandan.

“Kami berharap program seperti ini dapat terus menggalakkan warga khidmat awam kerajaan negeri di Perlis untuk terlibat secara langsung dengan kempen penanaman (pokok),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here