GEORGE TOWN, 7 Ogos — Semua pemimpin, termasuk daripada UMNO, yang telah menerima mandat di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka sebaik-baiknya dan bukan berpolitik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata mereka seharusnya memberi perhatian kepada masalah utama negara iaitu penularan COVID-19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu berkata situasi negara ketika ini memerlukan pimpinan politik duduk semeja mencari jalan menyelesaikan masalah negara berbanding memberi perhatian kepada soal politik. 

“Wakil rakyat seharusnya mengutamakan kepentingan negara dalam soal pengurusan pandemik dan krisis ekonomi akibat COVID-19. Bila tiba musim pilihan raya umum barulah kita berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat Pemerkasaan Komuniti di APM Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO yang meletak jawatan sebagai tanda tidak menyokong kerajaan PN.

“Buat masa ini, sama-samalah kita bantu menambah baik usaha kerajaan… sekiranya ada kekurangan yang perlu, kita bekerja keras dengan kerajaan sedia ada,” kata Ahli Parlimen Alor Gajah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here