PELABUHAN KLANG, 12 Ogos — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadamkan kebakaran di sebuah kilang kitar semula plastik di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, di sini malam tadi.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan kebakaran kilang itu pada 8.22 malam tadi dan hingga 6 pagi tadi pihaknya telah memadamkan hampir keseluruhan kebakaran yang memusnahkan 90 peratus kilang itu.

“Usaha kini ditumpukan untuk memadam bara api di bawah runtuhan struktur bumbung dan dinding.

“Kita juga membuat pemeriksaan untuk memastikan tidak ada lagi punca api sebab (kebakaran) ini melibatkan bahan-bahan plastik yang mudah terbakar dan api boleh naik balik. Kita akan pastikan api benar-benar padam, baru kita tinggalkan lokasi kebakaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Norazam berkata proses pemadaman kebakaran itu mencabar kerana terdapat angin kuat memandangkan kilang tersebut terletak berhampiran laut yang menyebabkan api marak selain terdapat beberapa tangki cecair mudah terbakar di dalam bangunan itu.

 Norazam menerusi kenyataan malam tadi dilaporkan berkata seramai 51 anggota termasuk pegawai bomba daripada 11 balai digegaskan ke lokasi kejadian bersama 12 jentera untuk operasi pemadaman di bangunan yang berkeluasan 300 x 600 kaki persegi tersebut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian dan situasi kebakaran itu turut tular melalui laman sosial malam tadi.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here