KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa bar keluli bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.6 dan 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun IKB di kawasan C (Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan) dan D (Johor) menunjukkan penurunan antara 0.1 dan 0.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

“Sementara itu, IKB di Kota Kinabalu meningkat antara 0.3 dan 4.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali cerucuk kayu yang turun 0.3 peratus manakala IKB di Sandakan meningkat antara 0.1 dan 0.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, IKB di Tawau merosot 0.1 peratus dan 0.3 peratus bagi bangunan kayu (-0.2 peratus), cerucuk kayu (-0.3 peratus) dan cerucuk (K.T.) (-0.1 peratus).

IKB di Kuching merekodkan pertumbuhan antara 0.4 peratus dan 1.5 peratus  bagi hampir semua kategori bangunan manakala IKB di Miri turut meningkat secara perlahan sebanyak 0.1 peratus bagi bangunan (K.T.) lima tingkat dan lebih (untuk penginapan) dan bangunan (K.T.) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat).

Mohd Uzir berkata IKB termasuk bar keluli pada Julai 2021 bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 1.3 dan 3.0 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Bagaimanapun, kawasan C (Selangor,  Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan) dan D (Johor) menunjukkan penurunan antara 0.1 dan 0.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

“IKB di Kota Kinabalu dan Sandakan meningkat antara 0.1 dan 4.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali bagi cerucuk kayu yang turun 0.3 peratus di kedua-dua kawasan serta bangunan kayu di Sandakan (-0.1 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata IKB di Tawau menurun antara 0.1 dan 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan manakala IKB di Kuching meningkat antara 0.4 dan 1.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

IKB di Miri turut meningkat 0.1 peratus bagi bangunan (K.T.) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata), katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here