KUALA LUMPUR, 15 Ogos  — Kelonggaran sekatan bersyarat untuk 11 sektor ekonomi bagi negeri-negeri di Fasa 1 dan Fasa 2 daripada Pelan Pemulihan Nasional (PPN) disambut baik oleh persatuan industri.

“Kelonggaran itu memberi kelegaan kepada banyak perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta golongan yang bekerja sendiri yang telah bertungkus-lumus demi kelangsungan hidup kesan daripada pandemik COVID-19 dan berpanjangan dan sekatan yang dilaksanakan,” kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Low Kian Chuan.

“NCCIM berharap perniagaan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pembukaan semula ekonomi berjalan secara lancar.

“Semakin cepat dan lebih ramai penduduk diberi vaksin COVID-19, semakin banyak lagi sektor ekonomi dan sosial akan dibuka semula dan meningkatkan sentimen isi rumah dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng pula meminta kerajaan mempertimbangkan semula garis panduan semasa untuk menjadikannya lebih konsisten dan mencerminkan realiti operasi.

Kerajaan harus menambahbaik SOP dan garis panduan pembukaan semula perniagaan untuk mencerminkan satu parameter operasi bukannya pendekatan pembukaan secara berperingkat. 

“Kami menyarankan supaya semua sektor termasuk pembuatan, pembinaan dan peruncitan dibuka semula dengan kapasiti pada tahap 80 peratus ketika 80 peratus daripada semua pekerja divaksin sepenuhnya serta hanya membenarkan pengunjung dan pelanggan yang sudah sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Ini adalah untuk memperkukuhkan keyakinan dalam program vaksinasi dan mengelakkan daripada masalah penguatkuasaan yang mungkin akan berlaku,” katanya.

Berdasarkan pelbagai SOP, SAMENTA meminta kerajaan mengarahkan semua agensi penguatkuasaan untuk menggunakan pendekatan perundingan untuk menguatkuasakan SOP, terutama pada minggu pertama di bawah garis panduan tersebut, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here