KUALA LUMPUR, 17 Ogos  — Tenaga Nasional Bhd menggalakkan pelanggannya membuat janji temu menerusi perkhidmatan janji temu dalam talian baharu, TNBtemujanji bagi mengurangkan waktu menunggu di Kedai Tenaga ketika pandemik COVID-19. 

Ketua Pegawai Runcit, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata platform dalam talian itu akan membantu pelanggan merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama untuk giliran mereka.

“Walaupun kami giat mendigitalkan pelbagai pilihan interaksi di Kedai Tenaga di platform myTNB bagi memberikan sokongan lebih baik kepada pelanggan, kami faham terdapat pelanggan yang lebih suka  berinteraksi dengan kami secara bersemuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata TNB mengalakkan semua pelanggan mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka tidak penting.

“Platform ini mudah digunakan dan mesra pengguna, memperkasa pelanggan untuk menguruskan akaun mereka pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja,” kata Megat.

Pelanggan yang ingin menggunakan TNBtemujanji boleh melayari portal www.mytnb.com.my/TNBtemujanji atau memuat turun aplikasi myTNB di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk membuat janji temu di 117 daripada 123 Kedai Tenaga di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Kedai Tenaga yang belum menawarkan perkhidmatan ini akan berbuat demikian menjelang akhir bulan ini.

Sejak diperkenalkan pada 28 Jun 2021, TNBtemujanji telah menerima 4,600 janji temu dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Johor menjadi tiga negeri tertinggi yang menerima permohonan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here