JOHOR BAHRU, 17 Ogos — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ditangguhkan sebelum ini, akan diteruskan mengikut jadual Ahad ini meskipun terdapat perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat yang mengesahkan perkara itu berkata bagaimanapun, tempoh persidangan telah ditetapkan dan bakal berlangsung selama empat hari sehingga Rabu (25 Ogos) manakala tempoh persidangan yang sebelum ini seharian, dipendekkan kepada separuh hari.

Selain itu, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mereka yang terlibat dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen setiap hari sebelum persidangan bermula, penghadang lutsinar dipasang di setiap tempat ADUN dan menggalakkan ADUN tinggal di hotel berdekatan sepanjang tempoh persidangan  bagi mengelakkan mereka  berulang alik ke kawasan mereka, kata beliau.

“Sebenarnya pada peringkat awal tu, kita memang nak tangguh apabila melihat Dewan belum bersedia sepenuhnya untuk mengadakan sidang dari segi keselamatan, dari segi prosedur operasi standard COVID-19, jadi kita tangguh ke 22 Ogos ini dan kita tengoklah perkembangan bagaimana.

Setakat ini, tiada apa-apa yang berubah, tapi kalau ada sebarang perubahan, kita akan lihat dari semasa ke semasa dan kuasa Speaker boleh menangguhkan jika persidangan itu tidak dapat dijalankan seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Parlimen Pulai kepada pengusaha-pengusaha teksi di sini di hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai status DUN Johor dengan mengambil kira perkembangan semasa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi memerintah Kerajaan Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai jangkaan adanya usul tergempar termasuk kemungkinan usul keabsahan kerajaan negeri PN di Johor serta usul percaya ketika persidangan disambung Ahad ini, beliau berkata Ahli Dewan berhak mengemukakan apa sahaja usul.

“Dari segi usul, semua boleh hantar. Ada dua (jenis). Satu, usul kena hantar 14 hari sebelum Dewan, kedua, kalau ada sesuatu yang mendesak dan perlu disegerakan…khusus kepada perkara tertentu untuk kepentingan umum…boleh diadakan usul. memang ada dalam Peraturan Dewan.

Ahli Dewan berhak kemukakan usul tetapi Speaker akan meneliti sama ada usul itu menepati Peraturan Dewan atau tidak,” kata Suhaizan. 

Bagaimanapun, beliau berkata tiada usul lain diterima setakat ini selain usul vaksin yang dicadangkan oleh ADUN Skudai Tan Hong Pin, yang dijadualkan pada hari terakhir persidangan.

Kerajaan Persekutuan kini dipimpin oleh Perdana Menteri Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau dan seluruh jemaah menteri meletak jawatan semalam.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  menzahirkan  penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara khususnya dalam memerangi COVID-19, berkenan untuk Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here