KOTA KINABALU, 18 Ogos  — Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah, dengan 1,410 kes atau 58.4 peratus daripada keseluruhan 2,413 kes yang direkodkan di negeri itu hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Sabah berkata, saringan bergejala pula merekodkan 538 kes  atau 12.3 peratus dan daripada saringan kluster sedia ada pula mencatatkan 233 atau 9.6 peratus.

Beliau berkata, 1,363 pesakit atau 56.5 peratus daripada kes hari ini merupakan pesakit kategori dua, 1,026 orang atau 42.5 peratus kategori satu, kategori tiga (11), kategori empat (3) dan selebihnya kategori lima.

“Kes baharu di Sabah terus melonjak ke paras yang amat tinggi iaitu 2,413, berbanding 2,103 kes semalam,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Masidi berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Sungai Pin, Kinabatangan melibatkan kluster tempat kerja, membabitkan 20 kes jangkitan.

“Kes indeks merupakan pekerja wanita berusia 52 tahun, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit  berdekatan Sungai Pin, Daerah Kinabatangan.

“Setelah bergejala sejak 10 Ogos 2021, kes indeks disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here