PUTRAJAYA, 20 Ogos — Selangor merekodkan penghasilan bahan buangan berjadual dan sisa klinikal tertinggi pada 2019 iaitu masing-masing dengan catatan 1.019 juta tan dan 7,343 tan, menurut laporan Statistik Alam Sekitar 2020.

Laporan tersebut menyebut, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan kira-kira 4.013  juta tan bahan buangan berjadual dan 33,757 tan sisa klinikal yang direkodkan Malaysia pada 2019.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan susulan laporan tersebut berkata antara industri yang menyumbang kepada penghasilan bahan buangan berjadual pada 2019 ialah aktiviti loji janakuasa sebanyak 24.2 peratus, kilang logam (12.2 peratus), industri kimia (10.7 peratus) serta elektrik dan elektronik (10.1 peratus).

Beliau berkata sisa klinikal dijangka meningkat secara drastik berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 pada 2020.

“Peningkatan kes positif COVID-19 adalah seiring dengan peningkatan tenaga kerja di kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa klinikal,” katanya.

Mengenai iklim, Mohd Uzir berkata Malaysia secara umumnya mengalami suhu yang seragam, kelembapan tinggi dan taburan hujan yang lebat pada 2019.

Tiga stesen meteorologi yang mencatat purata suhu tertinggi pada 2019 adalah stesen Temerloh di Pahang dengan 33.9°C, diikuti Lubok Merbau, Perak dan Subang, Selangor dengan masing-masing merekodkan purata suhu  33.6°C.

Selain itu, Stesen Petaling Jaya di Selangor merekodkan hujan tahunan tertinggi iaitu 3,673.2 milimeter (mm) diikuti Wilayah Persekutuan Labuan  (3,433.6 mm) dan Bintulu, Sarawak (3,316.6 mm), katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here