KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Sembilan lokaliti di Sabah dan tiga di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 4 Sept, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti di Kota Belud, dua di Lahad Datu, dua di Tawau serta satu di Tongod.

Lokaliti terlibat di Kota Belud ialah Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Dundai; Kampung Labuan; Kampung Ambong Tolus serta Kampung Tuguson; manakala di Lahad Datu ialah Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari FELDA Sahabat 48.

Dua lokaliti terlibat di Tawau pula ialah Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria manakala di Tongod, lokaliti dikenakan PKPD ialah Kampung Tangkuyan.

Sementara itu, lokaliti terlibat di Pahang ialah Taman Balok Makmur dan Kampung Seberang Sungai Ular di Mukim Sungai Karang, Kuantan serta Flat Damai Taha, Temerloh.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKPD hari ini.

Rodzi berkata PKPD di Bandar Sinsuran, University Condominium Apartment Fasa 2 dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 4 Sept.

Sementara itu, PKPD di FELDA Sungai Panching Selatan, Kuantan, Pahang dan Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang, Perak ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.

Beliau berkata keputusan MKN itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here