SEREMBAN, 22 Ogos — Seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia di sini kerugian RM5,350 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan membungkus batu jed menerusi laman sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata gadis berusia 18 tahun itu mendakwa melihat iklan kerja berkenaan di Facebook dan kemudian berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp mengenai perkara itu.

“Mangsa (gadis) dimaklumkan supaya membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM350 dan akan dibekalkan tujuh beg dengan setiap beg mengandungi 5,000 batu jed yang perlu dibungkus dalam tempoh 45 hari serta dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000.

“Mangsa dikatakan menggunakan wang milik ibunya untuk melakukan pembayaran menerusi lima transaksi bermula 14 Julai hingga 13 Ogos lepas ke dua akaun bank tempatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,350,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata selepas bayaran selesai dilakukan, mangsa mendakwa dia gagal menerima barangan itu selain terus diminta untuk melakukan pembayaran sebagai yuran ejen.

Beliau berkata mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis pada 13 Ogos lepas dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja dengan gaji tinggi selain membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta menyemak latar belakang syarikat terlebih dahulu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here