ALOR SETAR, 24 Ogos  — Kerajaan negeri Kedah memohon supaya kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan tambahan, khususnya untuk golongan petani di Yan yang sawah mereka terjejas akibat kejadian banjir lumpur pada 18 Ogos lepas.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia amat penting memandangkan daerah Yan merupakan kawasan pengeluaran padi yang tinggi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kesudian YAB (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menimbang peruntukan untuk golongan petani ini amat dialu-alukan, oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM75 juta, bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur di Yan dan Merbok, yang disebabkan oleh bencana banjir lumpur itu.

“Kesudian Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi yang pertama ke negeri ini, untuk melihat sendiri kesan tragedi serta memberi nasihat kepada mangsa yang terjejas, khususnya keluarga yang kehilangan insan tersayang, juga meredakan sedikit kesedihan yang ditanggung.

“Ini membuktikan sikap prihatin dan ambil berat beliau selaku pemimpin tertinggi kerajaan, terhadap nasib rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam situasi yang mencabar sekarang,” kata Muhammad Sanusi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, yang akan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih rumah penduduk terjejas berjumlah RM3 juta.

Semalam, Perdana Menteri semasa lawatan rasminya ke daerah Yan dan Kuala Muda mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta, bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok, yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.

Dalam lawatannya itu, Ismail Sabri turut meluangkan masa meninjau kawasan yang terjejas teruk di sekitar Titi Hayun di Yan.

Tragedi berkenaan meragut enam nyawa serta menjejaskan lebih 1,000 rumah penduduk di dua daerah berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here