KUCHING, 24 Ogos  — Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) tidak terjejas dengan pengumuman syarat baharu program MM2H di peringkat Persekutuan yang akan berkuat kuasa Oktober ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program S-MM2H akan mengekalkan kriteria sedia ada yang digunakan sejak 1 Sept tahun lepas kerana program itu sentiasa bertujuan menarik pengunjung berkualiti untuk menikmati layanan baik dan keramahan rakyat Sarawak.

“Sebagai sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS), kami akan terus mempelbagaikan pelancongan secara aktif melangkaui pelancongan santai dengan melihat potensi S-MM2H dalam membawa pelawat berkualiti ke Sarawak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Petra Jaya di sini.

Menurut beliau permohonan untuk mengikuti program S-MM2H diteliti oleh panel bebas yang dipengerusikan kementeriannya dan turut melibatkan Jabatan Imigresen; Pejabat Ketua Menteri; Pejabat Jabatan Peguam Besar negeri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan serta agensi negeri dan Persekutuan yang lain.

“Menggalakkan program pelancongan yang memberi pendapatan yang tinggi serta berkualiti seperti S-MM2H oleh kementerian sudah pasti memberi manfaat bagi sektor pelancongan di Sarawak. Kami mengalu-alukan ekspatriat dan warga asing untuk memohon Program S-MM2H,” katanya.

Pada 11 Ogos, kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan semula program MM2H bermula 1 Okt ini dengan kriteria yang lebih ketat, termasuk menaikkan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding sebelum ini RM150,000 bagi pemohon 50 tahun ke atas dan RM300,000 (pemohon 50 tahun ke bawah).

Pemohon juga perlu mempunyai pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, mengisytiharkan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (sebelum ini RM500,000), syarat keberadaan atau kemastautinan adalah kumulatif sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun serta Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang program MM2H itu ditetapkan lima tahun dan boleh dilanjutkan selama lima tahun.

Antara kriteria permohonan S-MM2H pula, simpanan tetap di bank tempatan bagi individu RM150,000 manakala pasangan RM300,000 dan pelaburan hartanah khusus untuk tujuan kediaman sekurang-kurangnya RM600,000 untuk pemohon berusia 40 hingga 50 tahun. 

Pemohon S-MM2H yang berusia lebih 30 tahun juga boleh dipertimbangkan jika mereka menemani anak-anak mereka belajar di Sarawak atau menjalani rawatan perubatan jangka panjang dengan tempoh penginapan minimum 15 hari kumulatif setahun dan pas 10 tahun akan dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya.

Garis panduan terperinci dan borang permohonan bagi program S-MM2H boleh didapati di mtac.sarawak.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here