KOTA BHARU, 26 Ogos — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan menyasarkan kutipan sebanyak RM600,000 bagi bayaran saman yang boleh dikompaun melalui tawaran pengurangan 70 peratus dari 17 Ogos hingga 16 Sept sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata sehingga semalam, pihaknya telah mengumpul RM54,273 bayaran kompaun membabitkan pelbagai saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk berstatus waran tangkap dan belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

“Tawaran pengurangan kompaun turut diberikan kepada pemandu/pemilik kenderaan warga asing kecuali melibatkan kes atau kesalahan yang telah dirujuk JPJ kepada pihak berkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. 

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk hadir ke JPJ negeri bagi menyelesaikan saman masing-masing dengan kadar pengurangan 70 peratus. Malah, bagi program yang sama pada tahun lepas, JPJ Kelantan mengutip RM718,764 bayaran kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Agihan Jalur Gemilang Secara Pandu Lalu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Peminat Eddie Hamid di perkarangan JPJ Panji, di sini hari ini.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata orang ramai turut memberi sambutan menggalakkan kepada pelaksanaan kaunter pembayaran cukai jalan dan memperbaharui lesen memandu secara pandu lalu yang diperkenalkan pihaknya dari 16 Ogos hingga 30 Sept.

Katanya, sebanyak RM140,600 bayaran direkodkan membabitkan 1,842 kenderaan dalam tempoh seminggu kaedah berkenaan dilaksanakan.

“Inisiatif pandu lalu yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 3 petang manakala Jumaat dan Sabtu sehingga 1 tengah hari itu, dapat memudahkan orang ramai kerana tidak perlu membuat janji temu dan bersesak di kaunter,” katanya sambil menyatakan kaedah tersebut telah dilaksanakan di beberapa negeri dan JPJ Kelantan yang pertama melakukannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here