KOTA KINABALU, 27 Ogos — Pelantikan semula dua menteri dari Sabah, yakni Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee akan membolehkan mereka terus mengetengahkan agenda yang berkaitan dengan hak-hak negeri.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ia termasuk hak yang telah termaktub dalam dokumen prakemerdekaan seperti laporan Inter-Governmental Committee (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata portfolio Ronald juga penting dalam membantu kerajaan Sabah mencapai rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang menjadikan agenda pertanian sebagai komponen utama.

Hajiji turut menyuarakan harapan agar anggota kabinet baharu akan membantu negara memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi dengan lebih efektif, selaras dengan harapan tinggi yang disandarkan oleh orang ramai ke bahu mereka.

“Kabinet baharu di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pasukan berorientasi tindakan yang mampu menangani dengan efektif cabaran-cabaran ekonomi yang dibawa oleh pandemik COVID-19. Syabas diucapkan, dan saya doakan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ismail Sabri melantik empat timbalan menteri dari Sabah, yakni Jonathan Yasin (Timbalan Menteri Dalam Negeri II), Datuk Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Kerja Raya II) di samping dua muka baharu Yamani Hafez Musa yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.

“Walaupun Yamani Hafez dan Mohamed Alamin adalah baharu, saya yakin dengan kebolehan dan keupayaan mereka untuk cemerlang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pelantikan enam pemimpin dari Sabah dalam barisan Kabinet baharu disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada rakyat Sabah.

Beliau berharap Kabinet baharu itu mampu mewujudkan pasukan yang mantap, berwibawa, dapat baik bekerjasama dengan rakyat, bertindak pantas dan bersepadu.

“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada kabinet baharu ini.

“Kita juga mengharapkan kabinet baharu ini perlu mempunyai satu idea baharu disusuli dengan tindakan-tindakan yang pantas. Rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukan untuk menunggu lagi,” katanya dalam kenyataan berasingan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here