IPOH, 31 Ogos — Polis Perak mengambil pendekatan untuk tidak meluluskan sebarang permohonan konvoi kenderaan yang dibuat oleh mana-mana individu atau kumpulan, sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebarang tujuan berkaitan aktiviti tersebut akan menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), serta tiada penjarakan fizikal.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak polis menasihatkan kepada kelab atau kumpulan, untuk tidak melakukan sebarang aktiviti konvoi kenderaan sewaktu negara masih berdepan varian Delta virus COVID-19, yang mudah berjangkit ketika ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak merancang dan memohon untuk melakukan sebarang aktiviti konvoi sepanjang tempoh PPN, sehinggalah dibenarkan untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya juga menasihati masyarakat untuk mengelak daripada melakukan sebarang sesi perjumpaan di lokasi tumpuan, serta mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Polis akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa dan akan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhinya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here