PASIR MAS, 31 Ogos — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menyumbang sebanyak 65.6 tan metrik hasil tanaman petani dan produk industri makanan di 174 lokasi seluruh negara dari 27 Mei hingga 29 Ogos lepas.

FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu, yang disalur melalui program MAFI Prihatin, memberi manfaat kepada 32,101 orang termasuk penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan peruntukan sebanyak RM225,494.

“Sumbangan ini adalah inisiatif serampang dua mata yang dapat membantu petani memasarkan lebihan hasil pertanian mereka dan sempena Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan.

“Pada masa yang sama, ia dapat membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19. Penerima juga terdiri daripada petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin serta sekatan jalan raya, badan kebajikan dan badan bukan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan menerusi program MAFI Prihatin di bawah FAMA Kelantan, sebanyak 5.8 tan metrik buah-buahan dan sayur-sayuran disumbang kepada 1,349 penerima membabitkan 16 lokasi di seluruh negeri dengan jumlah peruntukan RM14,727 bagi tempoh 1 Julai hingga semalam.

FAMA juga menyumbang sebanyak 1.4 tan metrik sayur-sayuran dan produk industri makanan kepada 660 penduduk di PKPD Kampung Repek di sini hari ini.

Menyentuh perkembangan Pasar Segar Terkawal (PST) yang diwujud bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan dan pemasaran makanan, kenyataan itu memaklumkan bahawa 54 lokasi PST di seluruh negara membabitkan 3,356 usahawan mencatatkan nilai jualan RM108.06 juta bagi tempoh 1 Jun hingga 29 Ogos lepas.

Menurut kenyataan itu, nilai jualan di empat lokasi PST berjaya mencapai angka RM63.13 juta membabitkan 456 usahawan tani bagi tempoh sama.

Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan, FAMA mewujudkan Bilik Gerakan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam.

“Ini bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System di http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php atau menghubungi hotline FAMA di 019-7476 754 atau 013-3777 100 atau 010-7632 684,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here