GEORGE TOWN, 1 Sept — Pulau Pinang perlu menilai dan menambah baik pelan-pelan pada masa ini, bagi memastikan semua pihak lebih bersedia untuk berhadapan dengan gelombang COVID-19 yang dijangka boleh berulang dengan kadar jangkitan kes positif yang lebih tinggi.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, kerajaan negeri perlu mempunyai persediaan yang lebih tersusun dalam menghadapi wabak Covid-19.

“Antara kelemahan ialah kita tidak cukup bersedia dengan pelan sedia ada dalam hadapi wabak COVID-19 yang berulang.

“Ia seperti mana bencana banjir, sebelum ini berulang kali kita hadapi, namun masih banyak kelemahan walaupun pelbagai pelan telah ada, begitu juga dengan situasi COVID-19,” katanya ketika membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Selain itu, Muhamad Yusoff (BN-Sungai Dua) berkata antara kelemahan dari segi prosedur yang perlu dinilai serta ditambah baik semula oleh pihak berkuasa adalah, berkenaan prosedur melibatkan kontak rapat pesakit COVID-19 yang tidak memakai gelang.

“Kontak-kontak rapat ini tidak memakai gelang, jadi mereka yang tidak betul-betul memahami keperluan untuk menjalani kuarantin kendiri, akan bebas bergerak.

“Perkara ini menakutkan rakyat dan mereka merungut kerana kontak rapat yang mungkin menjadi pembawa wabak ini bebas bergerak ke sana sini, tanpa pengawasan,” katanya.

Selain itu, katanya terdapat kekurangan tenaga sukarelawan terutama membabitkan pengurusan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19, dan perkara ini perlu dilihat semula oleh pihak berkuasa agama negeri.

Persidangan DUN bersambung esok dengan sesi penggulungan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here