KUALA LUMPUR, 1 Sept — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun terdapat penurunan kes COVID-19 harian baharu di Malaysia dan harga minyak yang lebih tinggi, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1535/1550 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1575 ketika ditutup pada Isnin.

Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi disokong oleh semakan semula daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya terhadap unjuran mereka mengenai permintaan minyak pada 2022 menjelang mesyuarat kumpulan pengeluar minyak pada Rabu.

“Semakan semula itu dibuat dalam persekitaran desakan AS untuk meningkatkan pengeluaran lebih cepat bagi menyokong ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent naik sebanyak 0.34 peratus kepada US$71.87 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7663/7677 daripada 3.7813/7854 ketika ditutup pada Isnin.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0854/0867 daripada 3.0848/0886 pada Isnin, susut berbanding pound British kepada 5.7144/7164 daripada 5.7116/7178 dan turun berbanding euro kepada 4.9099/9116 daripada 4.9001/9054.

Pasaran ditutup semalam sempena sambutan Hari Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here