PUTRAJAYA, 4 Sept  — Kementerian Kesihatan (KKM) memberi ruang kepada petugas barisan hadapannya untuk berkomunikasi secara terus dengan menteri berkenaan bagi menjamin momentum mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

Sebagai komitmen terhadap perkara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan satu alamat e-mel khusus iaitu menteri@moh.gov.my bagi membolehkan petugas terbabit menghubungi beliau jika berdepan sebarang masalah.

“Saya mahu laporan secara terus masalah di barisan hadapan, ia juga supaya boleh ada komunikasi secara terus antara saya dengan barisan hadapan,” katanya dalam temu bual khas mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari KKM di sini.

Beliau juga berkata KKM akan mengenakan cukai ke atas lebih banyak jenis minuman manis.

“Kita akan tambah jenis minuman manis yang akan dikenakan cukai supaya liputan (percukaian) akan lebih luas daripada yang ada sekarang,” katanya.

Pada Julai 2019, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter.

Khairy berkata KKM juga akan mewujudkan jawatankuasa bagi menangani masalah kanak-kanak bantut dalam KPI 100 hari itu.

Beliau berkata jawatankuasa ini akan melihat penyelesaian yang boleh diambil dalam usaha menangani masalah itu di Malaysia.

Definisi bantut mengikut KKM ialah masalah tumbesaran tidak normal akibat pengambilan makanan tidak seimbang dalam diet seharian bagi suatu tempoh yang lama.

KKM sebelum ini pernah melaporkan bahawa Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 merekodkan bilangan kanak-kanak bantut meningkat kepada 21.8 peratus pada tahun sama berbanding 20.7 peratus atau 503,723 orang pada 2016.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here