KUALA TERENGGANU, 6 Sept — Penutupan sementara Primula Beach Hotel selama dua minggu mulai semalam susulan penularan COVID-19 dalam kalangan 29 pekerjanya tidak akan menjejaskan sektor pelancongan domestik di Terengganu yang kembali beroperasi mulai 1 Sept lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pelancong masih mempunyai banyak pilihan untuk menginap di hotel dan resort lain di Terengganu malah pemantauan lebih ketat akan terus dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Penutupan sementara itu adalah prosedur biasa bagi mengekang penularan COVID-19 dan bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Primula Beach Hotel ditutup selama 14 hari hingga 18 Sept atas arahan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel Suaibah Harun ketika dihubungi berkata seramai 109 pekerja lain hotel berkenaan akan menjalani ujian calitan bermula hari ini.

“PKDKT telah mengeluarkan arahan penutupan terhadap satu daripada empat dapur dan satu daripada empat restoran pada 29 Ogos lepas setelah kes pertama COVID-19 dikesan,” katanya menambah penutupan itu adalah berdasarkan penilaian risiko bahawa jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan.

Bagaimanapun setelah penularan berlaku di bahagian yang lain, PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis hotel bermula Ahad,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here