KUANTAN, 10 Sept  — Kerajaan negeri Pahang menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) selaras dengan komitmen memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata keputusan menubuhkan JONP dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas, dan ia akan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak. 

JONP juga dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Pahang, Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Ketua Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Ketua Unit Audit Dalam Pejabat SUK Negeri. 

“Antara peranan JONP ialah meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam di Pahang yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

“JONP akan melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan yang memerlukan siasatan terperinci, meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan mempertimbangkan serta meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata Unit Integriti Pejabat SUK Pahang merupakan urusetia kepada JONP dan akan menerima serta menyaring aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP. 

JONP bagaimanapun tidak mempunyai bidang kuasa untuk bertindak ke atas aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang telah dirujuk kepada polis, SPRM, Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Pahang, mahkamah, MMK Negeri, Lembaga Rayuan Negeri yang diurusetiakan oleh PLANMalaysia@Pahang dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

“Penubuhan JONP diharapkan membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan demi kebaikan semua khususnya rakyat Pahang,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here