KUCHING, 14 Sept — Sebanyak RM13.7 juta daripada RM28.6 juta yang diluluskan di bawah Tabung Agro Sarawak telah diagihkan setakat 31 Ogos tahun ini, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau berkata tabung itu yang diuruskan di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membiayai aktiviti ekonomi asas tani yang berdaya maju dalam bentuk geran permulaan perniagaan dan dana pengembangan.

“Tabung itu telah diagihkan secara berperingkat mengikut kemajuan projek,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Carus Greenwealth Sdn Bhd dan Antares Ventures Sdn Bhd untuk pembangunan ladang padi pusaka di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata 25 permohonan diterima untuk tabung itu, yang diwujudkan bagi memudahkan usahawan tani mendapatkan bantuan kewangan.

“Ia juga adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030,” tambahnya.

Uggah berkata tabung itu juga untuk melengkapkan subsidi yang diterima petani di samping membolehkan mereka memodenkan dan meningkatkan produktiviti mereka. 

Katanya kerajaan Sarawak juga memperkenalkan konsep baharu untuk menggalakkan pertanian moden bagi menarik generasi muda menceburi bidang pertanian sebagai karier melibatkan penggunaan Internet Benda (IoT), fertigasi moden dan teknologi rumah hijau.

“Kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mewujudkan sistem pemasaran yang berkesan melalui pelantikan syarikat anchor (induk) bagi membantu petani menjual produk mereka ke pasaran yang lebih besar dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here