KUCHING, 16 Sept — Seramai 65,252 remaja di Sarawak telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam (15 Sept), kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya daripada jumlah itu seramai 61,271 adalah daripada remaja berusia 16 dan 17 tahun manakala 3,981 adalah remaja berusia antara 12 dan 15 tahun yang komorbid.

“Kami sudah berada di landasan menjelang pembukaan sekolah pada 3 Okt dan remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun akan diberi vaksin sepenuhnya. Mereka akan mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan selamat.

“Kerajaan negeri juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa yang beri kerjasama baik dengan memberi keizinan untuk anak mereka disuntik,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Majma di sini, hari ini.

Sarawak telah memulakan pelaksanaan vaksinasi COVID-19 untuk remaja pada 8 Sept lepas sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif tersebut.

Sementara itu, Abang Johari berkata sehingga kini Sarawak masih mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 dalam lingkungan 3,000 kes.

“Jumlah kes ini juga termasuk kes-kes tunggakan. Sebab itulah angka kita tinggi kerana terdapat banyak saringan dijalankan bulan lepas dan keputusannya hanya dikeluarkan sekarang.

“Kebanyakan kes ini juga adalah dalam kategori tidak bergejala dan gejala ringan. Kadar kemasukan ke hospital kita juga rendah, ini menandakan kita sedang menuju ke arah endemik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here