KUALA LUMPUR, 16 Sept — Sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu hari ini menandakan Bulan Kebangsaan yang dilancarkan pada 7 Ogos lepas oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah sampai ke kemuncak dan menutup tirainya, tahun ini.

Tinjauan Bernama di media sosial mendapati sejak pelancaran Bulan Kebangsaan, rakyat Malaysia termasuk pelajar sekolah tidak mahu ketinggalan menyemarakkan sambutan itu menerusi cara masing-masing dalam suasana norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 24 Shah Alam, Selangor, murid-murid memanfaatkan pengalaman mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan meraikan sambutan Bulan Kebangsaan secara dalam talian.

Para guru dan murid telah mengadakan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas menerusi aplikasi saluran YouTube dan pagi ini sekali lagi menggunakan aplikasi itu untuk membuat siaran langsung atau live sempena sambutan Hari Malaysia.

Antara aktiviti yang diadakan ialah persembahan koir, sesi pengetahuan am ‘Sembang-Sembang: Fakta dan Auta Merdeka’ dan pertandingan pakaian tradisional. 

Unit Kokurikulum sekolah berkenaan turut mengambil inisiatif memuat naik video promosi (teaser) sebelum sambutan dijalankan bagi meraih tontonan ramai.

“Pada sambutan 31 Ogos lepas, pelajar begitu teruja untuk menghitung detik 12 malam secara beramai-ramai serta melaungkan ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ dengan penuh bersemangat sekali,” kata Guru Besar sekolah itu Azman Mohd Aris kepada Bernama baru-baru ini. 

Azman berharap aktiviti sekolah yang mendapat reaksi menggalakkan daripada pelbagai kaum itu dapat memupuk jiwa nasionalisme dalam generasi pelapis pemimpin negara.

Penolong Kanan Kokurikulum sekolah tersebut Zuhana Abdul Samad berharap usaha itu dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayang pelajar kepada negara.

“Sambutan Bulan Kebangsaan ini disertai oleh pelajar dan guru, dengan tontonan ramai ia akan memberi motivasi kepada pelajar untuk menghayati makna kemerdekaan yang sebenar,” katanya.

Penolong Kanan Kokurikulum SK SS 19 Subang Jaya Nazaruha Sungip pula berkata sambutan Bulan Kebangsaan tetap diusahakan warga sekolah itu, biarpun dalam norma baharu bagi memupuk serta mengekalkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar. 

Katanya antara aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di sekolah itu ialah persembahan ‘Sentuhan Jemari Merdeka’ iaitu alunan piano lagu ‘Sejahtera Merdeka’ oleh guru muzik sekolah berkenaan yang mendapat perhatian ramai penonton YouTube.

“Kita tidak mahu semangat patriotik pelajar luntur dan Bulan Kebangsaan ini berlalu begitu saja, pandemik ini bukanlah penghalang untuk kami menyambut Bulan Kebangsaan ini secara beramai-ramai,” kata Nazaruha.

Nur Hidayah Hasbi pula begitu teruja apabila anaknya Uqael Mohd Affizin, 6, yang belajar di Tadika KEMAS Kg Jawa, Port Dickson, Negeri Sembilan diumumkan sebagai pemenang pertandingan deklamasi sajak secara maya anjuran Tabika KEMAS dan Taska KEMAS, sekali gus mewakili kawasan Parlimen Port Dickson ke peringkat negeri.

“Kami memang tidak mengharapkan sangat kemenangan, apa yang kami harapkan adalah menggalakkan anak-anak menjiwai apa yang mereka sampaikan dan mempunyai semangat cintakan tanah air,” kata ibu berusia 31 tahun itu menerusi akaun Facebooknya.

Tahun ini merupakan tahun kedua Malaysia meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam suasana norma baharu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here