PETALING JAYA, 15 Sept — Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjadi hospital pertama menggunakan Portable Negative Pressure Isolation Carrier (ISOPOD) buatan Malaysia, yakni inovasi  khusus bagi mengangkut pesakit COVID-19 yang sangat mudah berjangkit, terutama di dalam ambulans.

MyISOPOD, nama khas yang diberikan kepada inovasi itu sempena Hari Malaysia, digunakan bagi melindungi petugas perubatan daripada ancaman penyakit berjangkit kerana ia memberikan tahap keselamatan tinggi bagi petugas yang terlibat dalam pemindahan pesakit yang dijangkiti dengan penyakit serius, termasuk COVID-19.

ISOPOD ini dibangunkan hasil kolaborasi antara PPUM dan syarikat tempatan Puncak Bumi Utama Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pengeluar alat perubatan khusus dalam mereka bentuk ISOPOD, katil untuk rawatan perubatan, peralatan serta pelbagai keperluan hospital.

Pengerusi Puncak Bumi Utama Datuk Zakaria Husain berkata PPUM ketika ini menggunakan tiga unit ISOPOD syarikat itu yang direka supaya menjadi lebih ringan, mudah dipasang dan mudah disanitasi menerusi penggunakan bahan kimia mahupun cahaya UVC, di samping senang diangkat bagi kemudahan dibawa kemana-mana dan bagi tujuan penyimpanan.

“Kita antara syarikat pertama yang mengeluarkan ISOPOD di Malaysia, dengan kewujudan penyakit luar biasa saya rasa ISOPOD ini amat berfaedah untuk digunakan, ISOPOD ini disiapkan oleh kakaitangan tempatan dan penuh dedikasi, jadi saya yakin (dengan alat ini),” katanya selepas majlis penyampaian ISOPOD itu di PPUM di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puncak Bumi Utama, Ahmad Kamal Chik berkata semasa negara sedang beralih ke fasa endemik, penggunaan ISOPOD bagi tujuan pengangkutan kes-kes disyaki COVID-19 di kawasan awam seperti pusat beli-belah, kilang-kilang dan stesen-stesen MRT, menjadikan produk itu lebih relevan.

“Sekarang ini bila ada orang jatuh atau berada dalam keadaan berbahaya, maka tidak ada orang yang berani nak pegang atau melakukan sesuatu (untuk membantu), jadi bila ada ISOPOD ia dapat menyelesaikan masalah itu.

“Dengan ini yang akan tercemar adalah sorang sahaja, yang mengangkat pesakit, itupun kalau dia ada latar belakang perubatan, dia akan pakai PPE (peralatan perlindungan diri), dan kalau pesakit itu boleh berjalan sendiri, dia boleh disuruh masuk sendiri (ke dalam ISOPOD), dan cuma zip sahaja ISOPOD itu,” katanya.

Menurutnya sejak awal pandemic COVID-19, pihaknya telah bekerjasama dengan pegawai bahagian kejuruteraan biomedical dan kakitangan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk membuat penyelidikan.

“Ketika itu kita terpaksa gunakan bahan mentah untuk menghasilkan ISOPOD ini bagi memastikan PPUM dan kerajaan Malaysia dapat alat atau transporter untuk menyelesaikan masalah daripada segi membawa pesakit yang dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata selain kadar vaksinasi yang tinggi dan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pematuhan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka, perlu ada kaedah lain yang juga boleh mengurangkan penularan COVID-19.

Sementara itu Timbalan Pengarah Klinikal (Surgikal) PPUM Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar berterima kasih atas sumbangan ISOPOD berkenaan, yang menurutnya akan memudahkan lagi kerja-kerja pemindahan pesakit COVID-19 di hospital itu.

“Dengan adanya ISOPOD buatan tempatan ini, kita tidak perlu lagi mengimport daripada luar negara seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom. Ia bukan sahaja lebih berpatutan harganya, tetapi fleksibel dari segi penggunaannya, ada pengalih udara serta beberapa alatan lain boleh dipasang bersama kepada pesakit yang berada dalam isopod itu.

“Inovasi berserta kreativiti pereka tempatan membolehkan ISOPOD dibawa ke mana-mana sahaja. Ia mudah dilipat dan disimpan di dalam beg khusus. Seterusnya, ia membolehkan pesakit yang berisiko menular jangkitan secara aerosol dan airborne (bawaan udara) dapat dicegah sewaktu memindah pesakit ke hospital berdekatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here