KUALA LUMPUR, 17 Sept — Top Glove Corp Bhd dijadualkan untuk kembali mengeksport ke Amerika Syarikat (AS) seawal hujung September 2021 selepas pihak berkuasa kastam AS membatalkan larangan selama setahun yang dikenakan terhadap pengeluar sarung tangan itu susulan dakwaan bahawa ia menggunakan buruh paksaan.

Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow berkata kumpulan itu yakin dapat mengekalkan pelanggan sedia ada dan juga menarik pelanggan baharu.

“Barangan kami sudah dipersiapkan cuma tinggal urusan cetak bahan pembungkusan dan menghantarnya (kepada pelanggan). Kami percaya bahawa lebih banyak penghantaran akan berlaku pada Oktober ini dan kami akan kembali seperti sedia kala menjelang Disember depan,” katanya semasa taklimat media dan analisis keputusan Top Glove untuk suku keempat yang berakhir pada 31 Ogos 2021.

Operasi Top Glove di Malaysia telah dibenarkan untuk mengeksport dan menjual sarung tangan ke AS berkuatkuasa pada 10 September 2021, menunjukkan bahawa kumpulan tersebut telah memenuhi semua penanda aras berkaitan buruh paksa di kilang-kilangnya di negara ini.

Perkembangan ini diharapkan dapat meningkatkan penjualan daripada operasi Top Glove Malaysia ke AS, yang menyumbang 15 peratus daripada jumlah jualan kumpulan.

Untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos 2021, Top Glove mencatatkan hasil jualan sebanyak RM16.40 bilion, naik 127 peratus dari tahun ke tahun berbanding tahun kewangan 2020.

Lee ketika bercakap mengenai purata harga jualan (ASP) untuk pasaran AS berkata kumpulan itu melihat ASP akan mencecah paras AS$40 (AS$1=RM4.15).

“Dengan ASP semasa, mereka masih lebih tinggi daripada tahap pra-COVID-19. Kami meramalkan penyesuaian harga mungkin berlaku sebanyak 8.0 peratus hingga 10 peratus secara bulanan tetapi dalam kes kami di sini dengan eksport semula kami ke AS, ianya akan dapat membantu mengimbangkan penyelarasan harga,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lim Wee Chai menjangkakan ASP Top Glove akan mula stabil pada Januari 2022.

“Melangkah ke hadapan, harga bahan mentah boleh memberikan kelebihan kepada kami. Harga Nitril mungkin akan menurun,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here