KUALA LUMPUR, 27 Sept — Pandemik COVID-19 yang bermula di Wuhan, China pada penghujung 2019 sebelum pantas menular ke seluruh dunia, menyaksikan banyak negara yang bergantung pada sektor penjagaan kesihatan dan pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi mereka, terjejas teruk.

Ini kerana penularan pandemik itu memaksa kebanyakan negara menutup sepenuhnya sempadan antarabangsa masing-masing dan Malaysia juga tidak terkecuali sedangkan majoriti daripada resit pelancongan negara ini disumbangkan oleh pelawat asing.

Kini, selepas hampir dua tahun ketibaan virus itu di negara ini, tanda-tanda pemulihan semakin dirasai dengan Malaysia sedang melakukan persiapan ke arah membuka semula sektor pelancongannya dalam persekitaran endemik.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif, kerjasama semua pihak berkepentingan amat diperlukan bagi mempercepat pemulihan semula sektor itu.  

“Kerjasama merentasi pihak berkepentingan tempatan dan juga jaringan industri di luar negara amat penting, bukan sahaja dalam mempercepat pemulihan industri tetapi juga bagi membolehkan landskap penjagaan kesihatan kita melangkah ke depan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

MEMBINA KEYAKINAN

Sehubungan itu katanya MHTC akan memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha membina keyakinan masyarakat antarabangsa, khususnya pasaran sasaran termasuk Indonesia dan China, bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang selamat dan boleh dipercayai.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan hospital yang menjadi ahli kami agar turut terlibat dalam meyakinkan pasaran lain seperti rantau Timur Tengah yang merupakan pasaran berpotensi seiring kedudukan Malaysia sebagai hab halal global, sekali gus merancakkan lagi industri selaku antara pemacu pertumbuhan ekonomi utama pasca-COVID-19,” katanya.

Mohd Daud berkata pemulihan industri itu amat penting memandangkan unjuran awal menunjukkan sektor penjagaan kesihatan Malaysia berpotensi menyumbang RM7 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2025.

Bagi MHTC sendiri, beliau berkata majlis itu akan terus membina kepercayaan melalui libat urus semua pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa menerusi inisiatif dipacu industri seperti insigHT 2021 yang akan diadakan secara maya dari 16 hingga 18 Nov depan.

“InsigHT merupakan persidangan pasaran pelancongan perubatan di mana pemain industri berhimpun bagi menggubal strategi dan bekerjasama dalam mengekalkan daya tahan industri pelancongan penjagaan kesihatan.

“Kami jangka kira-kira 800 peserta dari lebih 30 negara akan terlibat dalam persidangan tiga hari itu yang bakal menyaksikan lebih 40 penceramah dari rantau berbeza memberikan pandangan masing-masing. Antara tokoh yang dijangka turut serta ialah wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mayo Clinic dan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT),” katanya.

Pada masa sama, Mohd Daud menasihati pemain industri agar menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan kemudahan bersesuaian bagi memastikan pesakit berasa selamat, sekali gus membolehkan usaha pemulihan industri kekal di landasan.

PELANCARAN RANGKA TINDAKAN

Bagi memacu pelan pemulihan MHTC, Mohd Daud berkata organisasi itu akan melancarkan Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025 pada Oktober ini.

Rangka tindakan itu merupakan usaha menyeluruh yang berfungsi sebagai dokumen untuk membimbing industri maju ke hadapan dan melibatkan semua pihak berkepentingan.  

Katanya perkara utama sekarang ialah membentuk ketahanan industri bagi mengharungi cabaran ke arah menyediakan pengalaman pelancongan penjagaan kesihatan terbaik menjelang 2025.

“Kami percaya dengan kerjasama rentas dan inisiatif-inisiatif utama yang diperkenalkan, Malaysia akan terus ke hadapan sebagai destinasi peneraju bagi penjagaan kesihatan,” katanya.

HIDUPKAN SEMULA INDUSTRI PERHOTELAN

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA Melaka Ahmad Khairuman Md Hashim berkata pelancongan perubatan merupakan penyumbang besar kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata pada 2019 misalnya, Malaysia merekodkan ketibaan kira-kira 1.22 juta pelancong perubatan yang datang semata-mata untuk tujuan perubatan dan mereka menyumbang RM1.7 bilion kepada pendapatan sektor pelancongan.

“Kajian menunjukkan 74 peratus daripada perbelanjaan pelancong perubatan ialah perbelanjaan bukan perubatan. Ini menunjukkan pelancongan perubatan bukan sahaja boleh menggalakkan pertumbuhan sektor kesihatan tetapi juga sektor berkaitan pelancongan lain seperti perhotelan, peruncitan dan pengangkutan,” katanya. 

Beliau turut menyambut baik pelan kerajaan untuk membuka semula Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman kepada pelancong domestik menerusi gelembung pelancongan menyusuli Pulau Langkawi, yang beliau lihat akan turut memberi manfaat kepada pelancongan penjagaan kesihatan dan domestik. 

Menurutnya, pembukaan semula destinasi pelancongan merupakan satu-satunya cara untuk memastikan kelangsungan sektor perhotelan.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) melaporkan kira-kira 120 hotel terpaksa ditutup, sama ada buat sementara atau kekal,  susulan impak COVID-19, sementara hotel yang masih beroperasi pula terpaksa mengurangkan jumlah kakitangan demi kelangsungan perniagaan.

“Justeru, menggalakkan pelancongan domestik boleh menjadi fasa pertama dalam menghidupkan semula hotel dan sektor hospitaliti sebelum merancang fasa seterusnya termasuk membuka semula sempadan negara.

“Pelaksanaan gelembung pelancongan domestik membolehkan penguatkuasaan SOP yang sama selain mengawal aliran pelancong. Ini akan menghasilkan prosedur yang mudah diikuti oleh pelancong dan seterusnya mewujudkan aliran pelancong yang signifikan di destinasi terbabit,” katanya.

Strategi itu bukan sahaja menguntungkan pengusaha hotel tetapi juga perkhidmatan sokongan lain seperti syarikat sewa kereta, kedai cenderamata serta premis makanan dan minuman. 

Pada masa sama, Ahmad Khairuman berkata pemain industri boleh melaksanakan perkhidmatan pelanggan hibrid bagi mengurangkan kontak di antara pekerja mereka dan pelancong.

“Gabungan platform digital dan tradisional akan mengurangkan interaksi bersemuka di antara pekerja dan pelawat. Contohnya melaksanakan pratempahan dan menu pilihan di restoran, daftar masuk kendiri di hotel, pembayaran secara digital dan komunikasi dalam talian yang konsisten, semua ini boleh dilakukan dengan mudah melalui sebarang platform termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram,” jelasnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here