KUCHING, 29 Sept — Pihak berkuasa berkaitan diminta untuk tidak membuat sekatan yang tidak perlu bagi pengeluaran permit kepada pelancong dari Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk memasuki Sarawak, apabila negeri itu membuka semula sektor pelancongan domestiknya bermula 1 Okt.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun permit polis dan kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) diperlukan bagi mengawal kemasukan dan penularan COVID-19, namun diharapkan kerjasama penuh diberikan bagi meluluskan permohonan mereka yang datang untuk melancong.

“Kementerian saya telah menyediakan dan akan melaksanakan satu pelan strategik bagi mengaktifkan semula pelancongan dan perniagaan industri acara dan untuk membina industri pelancongan yang lebih berdaya tahan pasca pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media pengumuman pembukaan semula pelancongan domestik Sarawak dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan di sini hari ini.

Abdul Karim berkata, SDMC juga telah mengumumkan lebih banyak aktiviti termasuk aktiviti pelancongan dan tarikan pelancongan akan dibenarkan untuk beroperasi bermula 1 Okt, dengan pematuhan kepada SOP yang berkaitan.

Beliau berkata aktiviti pelancongan dibenarkan termasuklah penginapan di hotel dan inap desa, tarikan pelancongan, premis seni, budaya dan warisan, pusat spa, refleksologi, urut dan perkhidmatan perawatan kaki dan kuku, dengan pematuhan kepada SOP yang dikeluarkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

Abdul Karim berkata kesemua pelancong perlu memiliki sijil vaksinasi digital pada aplikasi MySejahtera atau kad asal vaksinasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, selain menghantar salinan tempahan tiket penerbangan, penginapan, tarikan dan pakej pelancongan sebagai dokumen sokongan bagi memperolehi permit polis dan kebenaran memasuki Sarawak.

“Kesemua pelancong perlu telah divaksin sepenuhnya, manakala kanak-kanak di bawah 17 tahun perlu bersama ibu bapa mereka yang telah divaksin sepenuhnya. Mereka juga perlu menunjukkan laporan ujian rt-PCR atau rtk-Antigen yang negatif, dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here