MELAKA, 30 Sept — Kesemua tujuh operasi sekatan jalan raya (SJR) di tiga daerah di Melaka akan ditutup bermula tengah malam ini berikutan peralihan negeri itu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua SJR itu melibatkan lokasi di Pulau Sebang, Cherana Putih, Rumbia di Paya Rumput, Gapam, Sungai Rambai, Kesang dan Bemban.

“Penutupan SJR terlibat berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan negeri melalui kempen ‘Melakan Visit Melaka’ melibatkan penduduk negeri itu yang diumumkan hari ini.

“SJR di semua pintu masuk negeri bagaimanapun masih kekal kerana Melaka masih menutup pintu masuknya kepada pelancong luar negeri itu dan pelancong luar negara dan kita berharap orang ramai khususnya rakyat tempatan menggunakan peluang kelonggaran ini sebaik-baiknya dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM7.2 juta kepada 2,226 individu, perbadanan dan syarikat atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 bermula Fasa Satu PPN sejak 1 Jun hingga 3 Sept lepas.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 3.54 juta kenderaan diperiksa dengan 6,603 daripadanya diarah berpatah balik manakala 4,851 permohonan rentas negeri daripada 379,461 permohonan yang diterima telah ditolak atas alasan tidak munasabah.    

“Bagi Fasa Dua PPN yang bermula 4 Sept hingga semalam pula, sebanyak 387,405 kenderaan telah diperiksa dan 1,138 daripada jumlah itu diarah berpatah balik manakala 64 permohonan rentas negeri daripada 26,143 keseluruhan permohonan yang diterima terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here