ISKANDAR PUTERI, 3 Okt — Sebanyak 161 pemilik vesel yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan (DOF) menerima manfaat di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan sejak Januari sehingga kini, kata Ketua Pengarahnya Ahmad Tarmidzi Ramly.

Beliau berkata program yang memperuntukkan dana berjumlah RM150 juta itu merupakan inisiatif di bawah Dasar Jaminan Makanan (DJM) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).  

“Objektif program adalah untuk membangunkan industri perikanan pantai dengan memberi peluang nelayan tradisi di Zon A dan Zon B menaik taraf dan memodenkan vesel, memasang peralatan efisien dan mempertingkatkan aspek keselamatan yang sekali gus dapat meningkatkan hasil tangkapan.

“Program ini juga mengurangkan kebergantungan kepada kru bukan warganegara di atas vesel,” katanya selepas melawat Limbungan Kapal Syarikat DK Naval Technologies di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali.

Ahmad Tarmidzi berkata penggunaan mekanisme moden misalnya ke atas nelayan pukat jerut, boleh mengurangkan tenaga kerja manusia yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengusaha.

Sementara itu, Samsolbari berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha pemodenan vesel bagi melonjakkan aktiviti nelayan ke tahap lebih tinggi.

“Johor sebagai negeri yang mempunyai garis pantai terpanjang sewajarnya mempunyai aktiviti perikanan yang lengkap, selain dibantu dengan pelbagai aktiviti rantaian bagi memberi nilai tambah.

“Jadi kami menggalakkan nelayan menggunakan mekanisme automatik agar kerjaya nelayan menjadi lebih menarik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here