KUALA LUMPUR, 11 Okt — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mempertimbang mengadakan sambutan Hari Malaysia pada tahun depan di salah sebuah negeri di Semenanjung, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 telah bersetuju supaya sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept diadakan secara bergilir-gilir antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

“Cadangan ini boleh dipertimbangkan bagi sambutan Hari Malaysia pada tahun 2022 untuk diadakan di salah sebuah negeri di Semenanjung, tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri dan persetujuan kerajaan negeri untuk penganjuran bersama,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Sambutan Hari Malaysia dianjurkan secara bergilir-gilir antara Sarawak dan Sabah sejak 2012.

Mengenai perkhidmatan Internet dan jalur lebar, Zahidi berkata sebanyak 693 stesen pemancar daripada 5,394 stesen pemancar telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G setakat 31 Ogos lepas manakala 362 menara baharu akan dibina menjelang penghujung 2022 yang akan meningkatkan kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,661 menara baharu akan dibina secara kaedah tender terbuka di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk melonjakkan lagi kadar liputan 4G kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara dengan kerja-kerja pembinaan menara itu dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

“Di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli, penyediaan perkhidmatan jalur lebar dilaksanakan dengan menggunakan teknologi satelit. Bagi tujuan ini, 839 lokasi di seluruh negara termasuk 138 lokasi telah dikenal pasti bagi memastikan liputan jalur lebar di kawasan-kawasan yang sukar diakses dengan teknologi gentian optik dan mudah alih. 

“Inisiatif ini dalam proses pelaksanaan dan dijangka akan siap secara berperingkat bermula November ini sehingga awal tahun 2022,” katanya.

Sementara itu, Zahidi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melancarkan portal JENDELA (Pelan Jalinan Digital Negara) Map, https://jendela.my, yang digunakan untuk menyemak liputan telekomunikasi di kawasan masing-masing selain memberi maklum balas kepada MCMC supaya penambahbahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Kerjasama kerajaan negeri dan semua pihak adalah penting bagi memastikan semua cadangan dasar yang telah diluluskan di peringkat pusat, dapat diaplikasikan di peringkat negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) agar penyediaan infrastruktur digital dapat dimudah cara serta mengikut piawaian yang tertentu bagi memastikan Aspirasi Nasional dapat dicapai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here