PUTRAJAYA, 14 Okt — Industri francais berkembang dengan baik di Malaysia dengan terdapat 614 francaisor tempatan, 68 francaisi induk dan 408 francaisor asing yang telah berdaftar di bawah Akta Francais 1998, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, bilangan premis perniagaan francais yang beroperasi ialah 13,018 premis dengan 5,419 merupakan premis francaisor atau francaisi induk manakala 7,599 adalah milik francaisi.

“Industri ini memberikan pekerjaan stabil kepada lebih 80,000 pekerja dengan anggaran sumbangan dan gaji melebihi RM1.4 bilion setiap tahun,” katanya dalam sidang media secara maya selepas pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM2021) secara maya hari ini.

Nanta berkata sumbangan industri francais kepada sosioekonomi negara boleh dilihat melalui Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF) yang wajib dikemukakan oleh syarikat pada setiap tahun.

Berdasarkan LTPF 2019, katanya nilai jualan syarikat francais meningkat kepada RM13.3 bilion berbanding RM11.6 bilion yang dicatatkan pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 19.1 peratus.

Mengenai jenama francais tempatan di peringkat antarabangsa, Nanta berkata sebanyak 65 syarikat francais Malaysia berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan pembukaan lebih 3,000 outlet baru di 66 negara antaranya Daily Fresh, Nelson, Rotiboy, Global Art, dan Smart Reader.

Negara dengan bilangan outlet francais Malaysia yang tertinggi ialah Arab Saudi, Indonesia, Amerika Syarikat, Australia dan China, katanya.

Sebagai sokongan berterusan kepada industri francais, Nanta berkata kerajaan telah memperuntukkan RM1.8 juta untuk melaksanakan program pengembangan francais Malaysia ke peringkat antarabangsa.

 FIM merupakan program tahunan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang telah menghasilkan nilai potensi pelaburan dalam industri francais sebanyak RM3.75 bilion atau purata RM375 juta setahun bagi tempoh 2010 hingga 2019.

Bermula 2020, FIM berubah format kepada bentuk digital bagi menyesuaikan dengan keperluan norma baharu ekoran pandemik COVID-19 dan begitu juga dalam edisi 2021.

FIM2021 yang diadakan sejak 9 Okt hingga 16 Okt ini dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menyaksikan penyertaan 70 pempamer industri francais tempatan dan luar negara serta agensi yang berkaitan dengan ekosistem francais.

Nanta berkata FIM2021 menyasarkan sebanyak 15,000 pengunjung digital dengan sasaran potensi pelaburan sebanyak RM200 juta dalam perniagaan francais.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here