JOHOR BAHRU, 16 Okt — Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua penjawat awam antara 83 individu dikompaun semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan berada di pusat hiburan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua 83 individu berusia 16 hingga 62 tahun itu masing-masing dikompaun antara RM2,000 hingga RM5,000 dalam serbuan di tiga pusat hiburan di sekitar bandar raya menerusi Op Noda yang bermula 1 pagi hingga 11 malam.

Beliau berkata ahli perniagaan lelaki serta penjawat awam wanita dan lelaki berusia antara 35 hingga 41 tahun itu dikompaun dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini.

“Keseluruhannya seramai 50 individu diperiksa dalam serbuan itu. Polis menahan 10 wanita warga asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di negara ini melebihi masa bersama seorang penjaga premis.

“Penahanan turut melibatkan 29 pelanggan yang didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata dalam serbuan kedua di sebuah pusat hiburan di Taman Desa Jaya, Masai, pihaknya memeriksa dan mengeluarkan kompaun ke atas 17 individu manakala 16 individu lain dikompaun dalam serbuan ketiga di sebuah pusat hiburan di kawasan komersial Southkey Mosaic.

Beliau berkata keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM357,000 termasuk kompaun antara RM10,000 hingga RM25,000 yang dikenakan ke atas ketiga-tiga pemilik premis berkenaan.

Katanya kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(n) Peraturan Pendaftaran Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here