PASIR MAS, 21 Okt — Seorang lelaki mengaku menerima upah RM100 sehari dengan bekerja sebagai penghantar air ketum di kawasan Wakaf Merah, Tendong dan Bunut Susu di sini.

Pendedahan dibuat lelaki berusia 24 tahun itu hasil soal siasat selepas ditahan polis berdekatan Kampung Padang Embun, Tendong, kira-kira 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata lelaki itu turut mendedahkan dia bekerja dengan seorang tokan bernama ‘Tan’ yang juga penduduk tempatan.

Beliau berkata susulan maklumat itu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti ‘Tan’.

“Lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan di rumahnya, polis merampas 357 liter air ketum dan 180 kilogram daun ketum bernilai RM5,370. Keseluruhan nilai rampasan itu melibatkan air dan daun ketum, peralatan merebus serta sebuah kereta dianggarkan bernilai RM15,460,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes lain, Mohd Nasaruddin berkata pihaknya menahan seorang penganggur dan merampas 144 botol ubat batuk bernilai RM1,400 daripadanya di Lebuh Raya Pasir Mas-Rantau Panjang, kira-kira 5.45 pagi tadi.

Beliau berkata penahanan dilakukan selepas anggota unit kereta peronda (MPV) ternampak kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki itu didapati negatif terhadap dadah dan kesemua ubat batuk itu dijumpai di bahagian but kereta yang diletakkan di dalam kotak berwarna coklat. Kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here