KUALA TERENGGANU, 26 Okt — Setelah hampir dua tahun tidak beroperasi berikutan pandemik COVID-19, Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman (TRZK) kini kembali menjadi tumpuan orang ramai.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Juzman Ibrahim berkata kehadiran pengunjung sangat menggalakkan dengan purata 2,000 orang direkodkan setiap hari, sejak rentas negeri dibenarkan.

“Kita sasarkan jumlah pengunjung adalah seramai 200,000 orang berikutan harga promosi yang ditawarkan oleh MPK ketika ini, iaitu RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak, sehingga akhir tahun ini.

“Bagi mempelbagaikan lagi tarikan kepada pengunjung, kita juga dalam proses menambah bilangan haiwan melalui program pertukaran dengan Zoo Melaka, serta menambah pakej iaitu menyusuri Sungai Yak Yah untuk melihat pemandangan paya bakau dan kunang-kunang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

TRZK, yang dibuka pada Ogos 2009, mempunyai 589 ekor haiwan terdiri daripada 433 spesies burung, 84 spesies mamalia dan 72 spesies reptilia, amfibia serta ikan.

Beliau berkata MPK sebagai pengendali zoo itu, sentiasa memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung untuk meminimumkan penularan COVID-19 seperti daftar masuk dengan aplikasi MySejahtera, bacaan suhu badan, pemakaian pelitup muka serta program sanitasi secara berkala di kawasan tumpuan ramai sekitar zoo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here