KUALA LUMPUR, 31 Okt  — Pasangan beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menunggu lebih lama untuk mengukir nama dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), setelah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tersingkir pada peringkat separuh akhir Terbuka Perancis, awal hari ini.

Walaupun bermula cemerlang dengan memenangi set pertama 21-14, namun pasangan nombor lapan dunia itu tewas 10-21, 22-24 menentang bekas juara dunia Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol dari Korea Selatan dalam perlawanan 56 minit  di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Pada perlawanan akhir hari ini, Korea akan berdepan pasangan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, yang menewaskan rakan senegara Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-19, 12-21, 26-24 pada separuh akhir.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan kelima S. Rankireddy-Chirag Shetty dari India 18-21, 21-18, 21-17.

Juara Sukan SEA 2019 itu hampir memenangi kejuaraan setelah berjaya mara ke pusingan akhir pada Terbuka SaarLorLux 2018, Antarabangsa Malaysia 2019, All England 2019 dan Terbuka Thailand 2020, namun impian bergelar juara kali ini, sekadar impian buat mereka.

Sementara itu, sinar buat Malaysia apabila pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong merangkul kejuaraan Terbuka Belgium di Leuven.

Pemain berusia 21 tahun dari Johor itu, mengejutkan Ajay Jayaram dari India dengan kemenangan 21-14, 21-14 sekali gus merangkul kejuaraan ketiganya, selepas muncul juara dalam Kejohanan Antarabangsa Australia Selatan 2019 dan Terbuka Poland 2021, sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here