KOTA TINGGI, 30 Okt — Empat pintu masuk imigresen baharu yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam, kini dalam pelbagai fasa pembinaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata pintu masuk imigresen di Setiu, Terengganu yang telahpun memulakan pembinaan pada bulan Julai, dijangka boleh beroperasi seawalnya akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. 

Bagi pintu masuk di Telok Melano dan Baleh di Sarawak pula, beliau berkata disebabkan lokasinya di pedalaman, terdapat masalah awal untuk menghubungkan jalan pintu masuk dengan jalan besar yang agak jauh, sehingga melibatkan isu berkaitan tanah. 

“Baru-baru ini saya telah berbincang dengan Kerajaan negeri Sarawak untuk menyelesaikan isu ini. Insya-Allah bila selesai, boleh kita umumkan (mengenai dua pintu masuk) secepat mungkin,” kata beliau kepada pemberita di Terminal Feri Desaru Coast, di sini, hari ini. 

Sementara itu, Hamzah berkata Terminal Feri Desaru Coast pula yang juga terdapat satu lagi pintu masuk, telah 99 peratus siap dan dijangka sedia untuk operasi tidak lama lagi.

“Insya-Allah jika ia dapat diumumkan (pembukaannya) secepat mungkin, maka Desaru Coast akan menjadi salah satu tumpuan untuk dilawati mereka yang masuk dari Singapura ataupun Batam, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata pembukaan terminal feri baharu juga sekali gus membuka ruang dan peluang untuk pembukaan sektor ekonomi negara.

Dilengkapi sepenuhnya dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan maritim, terminal feri itu akan mempunyai akses terus dari Singapura, kepulauan Riau di Batam dan Kepulauan Bintan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here