SHAH ALAM, 6 Nov  — Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan calon bagi Ketua Menteri setakat ini sekiranya parti gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri berkenaan.

“Kita setakat ini belum lagi hendak mengumumkan, tunggu masa yang sesuai dan yang penting untuk mereka ini menghadapi penamaan calon…kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN dan penyerahan watikah di Shah Alam, Selangor hari ini.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan 28 calon bagi menghadapi PRN Melaka dengan menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri sekiranya menang pilihan raya berkenaan.

Ditanya mengenai sama ada PN turut menghendaki kesemua 28 calonnya untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi mengelak lompat parti, Muhyiddin berkata parti gabungan itu belum membuat rancangan untuk perkara tersebut buat masa ini.

“Kita masih yakin bahawa semua calon-calon kita ini cukup setia kepada apa yang telah diputuskan parti masing-masing. Saya yakin pimpinan parti-parti yang ada tahu siapa mereka dan kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi selepas selesai pilihan raya ini, Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan kesemua calon-calonnya bagi PRN Melaka telah menandatangani SD elak lompat parti dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang berpaling tadah selepas mendapat mandat daripada rakyat.

Ditanya mengenai keputusan BN untuk bergerak secara sendirian pada PRN itu, Muhyiddin akur dengan keputusan itu malah ia tidak memberi kesan terhadap perhubungan antara kedua-dua parti gabungan itu termasuk di peringkat persekutuan.

“Ia agak luar biasa, tetapi saya fikir ia dilakukan demi kepentingan negara untuk kestabilan, malah kerajaan sekarang misalnya sanggup menandatangani memorandum persefahaman dalam kedudukan mereka kini…dan saya rasa ia ok selagi menjaga kepentingan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here