MELAKA, 14 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan lawatan ke beberapa bilik gerakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), bagi menemui calon-calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO itu juga meluangkan masa bersarapan pagi dan menjamu selera di beberapa lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain singgah menyantuni golongan yang memerlukan.

Ismail Sabri memulakan lawatannya dengan singgah bersarapan pagi di sebuah gerai ‘coconut shake’ di Medan Selera Kampung Alai, Telok Mas.

Peniaga gerai berkenaan Farrah Liyana Mustafa berkata beliau berasa teruja dan gementar, apabila perdana menteri tiba dan memilih minuman dari kedainya sebagai penghilang dahaga.

Peniaga berusia 31 tahun itu berkata selama 20 tahun kedai warisan keluarganya dibuka, inilah pertama kali seorang pemimpin negara singgah di kedainya.

“Dalam banyak-banyak kedai ‘coconut shake’ di Melaka, beliau memilih merasa minuman terkenal negeri ini di tempat saya. Memang mengujakan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ketika singgah di Medan Selera Kampung Alai, Telok Mas berkenaan Ismail Sabri sempat menyapa kira-kira 30 pelanggan, yang sedang bersarapan di medan selera itu.

Selain coconut shake, Ismail Sabri turut menikmati nasi goreng dan pelbagai kuih sebelum bergerak meninggalkan tempat tersebut sekitar 9.30 pagi.

Beliau kemudiannya bergerak ke Cafe Mama, Solok Duku, Lendu dan tiba sekitar 10.45 pagi dengan disambut oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Di restoran berkenaan, beliau menjamu selera dengan masakan lemak cili padi, asam pedas Melaka, ulam-ulaman dan pelbagai jenis kuih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here