KUALA LUMPUR, 18 Nov  — Dalam usaha menggabungkan kelestarian dalam rangkaiannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk terus membangunkan grid masa depan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju dalam satu kenyataan hari ini berkata TNB telah mencapai kemajuan besar dalam persediaan untuk peralihan tenaga dengan inisiatif penjenamaan semula TNB yang diperkenalkan pada 2016, yang merupakan langkah strategik dalam memastikan hala tuju TNB ke arah mencapai kelestarian.

“Komitmen TNB adalah untuk terus mengutamakan pelaburan dalam memodenkan grid nasional ke arah ‘grid masa depan’, membolehkan grid pintar yang kekal kukuh, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital dan fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.

“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan setimpal adalah penting kepada TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembelajaran dan Pembangunan (ICLAD2021) di sini kelmarin.

Beliau berkata bagi menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik, sambil mengekalkan kestabilan voltan.

“Di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB merancang untuk melabur RM22 bilion dari 2022 hingga 2024, tertakluk kepada kelulusan kerajaan untuk terus membangunkan grid masa depan sebagai pemboleh utama peralihan tenaga.

“Ini akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian ke premis pelanggan. Pelanggan sebenarnya telah pun menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun lepas melalui pelaburan modal TNB serta di bawah IBR,” kata Ali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman turut menambah, TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga selaras dengan usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada kerajaan.

“TNB juga bersedia untuk menerajui peralihan Malaysia kepada mobiliti rendah karbon terutamanya melalui Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here