PUTRAJAYA, 19 Nov — Pelanjutan bantuan berbentuk pengecualian atau pengurangan sewaan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan yang akan tamat pada Disember ini akan dipertimbangkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keperluan untuk melanjutkan bantuan tersebut.

“Kita akan memikirkan untuk tahun depan sejauh mana boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjualan coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe@Dataran Putra, di sini hari ini. Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Memandangkan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memberi bantuan dalam pelbagai bentuk untuk menggerakkan aktiviti ekonomi serta menarik pelancong.

Menurut Shahidan, di Putrajaya sahaja, sebanyak RM4.78 juta telah disalurkan dalam bentuk sumbangan, pengecualian dan pengurangan sewaan serta pengecualian fi lesen dari 2020 dan tahun ini bagi mengurangkan beban peniaga kecil yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Di Kuala Lumpur, katanya KWP mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan 1,000 tapak perniagaan baharu khusus untuk anak muda kerana pandemik COVID-19 banyak memberi kesan kepada golongan tersebut.

Dalam pada itu, Shahidan berkata beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung Putrajaya di nombor peribadinya iaitu 019-4545111, dan kebanyakan aduan yang diterimanya adalah mengenai masalah di Kuala Lumpur dengan tindakan akan diambil dalam masa dua jam.

“Ramai kurang faham portfolio saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana ada panggilan dari negeri lain termasuk mintak pasang paip dan meter,” katanya dan menambah bahawa talian tersebut adalah untuk penduduk Wilayah Persekutuan termasuk mengenai permasalahan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here